Friday 14 March 2014

Kerajaan tawar rumah mampu milik



Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai rumah mampu milik, masih terdapat segelintir individu kurang mengetahui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah dua agensi kerajaan yang memberi fokus kepada penyediaan kemudahan itu di negara ini.
Kedua-dua syarikat itu memiliki objektif hampir sama, namun menawarkan rumah mampu milik pada harga berbeza mengikut definisi masing-masing bagi memastikan masyarakat mempunyai peluang memiliki rumah, sekali gus memenuhi keperluan negara dalam menjadi negara maju.
Pengarah Urusan SPNB Profesor Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, orang ramai pada masa kini prihatin dengan keperluan memiliki rumah kediaman pada harga mampu milik memandangkan kos sara hidup dan harga rumah yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya ingin menegaskan SPNB dan PR1MA sentiasa membantu rakyat dalam memiliki rumah pada harga berpatutan sekali gus membantu usaha kerajaan mensejahterakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, SPNB menyeru orang ramai supaya mengambil peluang memiliki rumah mampu milik di bawah RM250,000 melalui pelancaran projek pembangunan Rumah Idaman Rakyat (RIR) yang dilancarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, projek terbabit peluang terbaik bagi rakyat untuk memiliki kediaman masing-masing memandangkan ia menawarkan pelbagai jenis rumah daripada teres, semi-D, banglo dan lain-lain pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Sebagai permulaan, kami merancang membina 3,000 unit RIR membabitkan beberapa lokasi di seluruh negara dengan golongan sasaran seperti anak muda, keluarga muda, kakitangan kerajaan dan individu memiliki pendapatan antara RM3,000 dan RM7,000,” katanya.

RIR satu inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014, Oktober lalu bertujuan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Kamarul berkata, SPNB berharap lebih ramai individu melakukan pendaftaran dengan pihaknya apabila projek RIR dilancarkan dan semua maklumat mengenai cara permohonan serta lokasi rumah diumumkan.

“Setakat ini, kami mengenal pasti beberapa lokasi dan kami membuka pendaftaran, pembinaan dan proses undian untuk menentukan pemilik sebelum memulakan proses jual beli dan bayaran deposit kemudian menyerahkan unit rumah kepada pemohon yang layak,” katanya.

Selain RIR, SPNB masih meneruskan program Rumah Mesra Rakyat yang disasarkan kepada golongan memiliki tanah sendiri dan pendapatan berjumlah RM3,000 ke bawah yang terbahagi kepada rumah bersaiz 700 kaki persegi dengan harga (RM45,000), 850 kaki persegi (RM55,000) dan 1,000 kaki persegi (RM65,000).

“Kami turut menawarkan subsidi bagi harga keseluruhan rumah terbabit dengan membabitkan nilai RM20,000 (700 kaki persegi), RM17,500 (850 kaki persegi) dan RM15,000 (1,000 kaki persegi) bertujuan mengurangkan beban ditanggung pemohon,” katanya.

sumber Harian Metro - 15 Mac 2014

No comments:

Post a Comment