Friday 14 March 2014

Status Terkini Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat 1 dan 3 di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya



SIARAN SEGERA
14 MAC 2014

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjalan lancar dan seperti yang dirancang.

Pihak SYABAS ingin menekankan sekali lagi bahawa TIADA penghantaran bekalan air melalui lori-lori tangki atau tangki air statik di semua kawasan catuan kerana pelan catuan yang dijalankan ini merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan ini boleh dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri, pusat dialisis, hospital (kerajaan / swasta) atau di rumah-rumah kebajikan.

Untuk makluman, pelan catuan bekalan air ini juga merupakan satu dorongan kepada para pengguna untuk mengurangkan dan menjimatkan penggunaan air harian. Pada 14 Mac 2014, penggunaan bekalan air adalah  4,378 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa dalam lingkungan 4,700 JLH,iaitu kekurangan sebanyak 322 JLH.

Sehubungan itu, diharapkan agar para pengguna dapat bekerjasama sepenuhnya untuk mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat dalam membolehkan bekalan air dapat bertahan lebih lama lagi. Justeru, di dalam menghadapi situasi catuan air ini, para pengguna ditegaskan juga agar mengelakkandari menyiram tanaman atau melakukan pengairan rumput secara berlebihan, membasuh kereta, menggunakan air untuk keperluan rekreasi seperti mengisi kolam renang atau menggunakan peluncur air, menggunakan pancuran hos air bagi menyiram kawasan kaki lima, halaman dan lain-lain kerja-kerja pencucian.

Dalam masa yang sama, para pengguna juga dilarang melakukan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrustuktur bekalan air yang diuruskan oleh SYABAS termasuklah pada jajaran-jajaran paip kerana perbuatan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna selain SYABAS turut menanggung kerugian akibat vandalisme yang dilakukan. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi.

Untuk mengetahui kawasan terlibat dan jadual catuan bekalan air , para pengguna disarankan untuk melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan yang dilaksanakan ini.


- tamat - 



PRISCILLA ALFRED
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam
Tel : 03-2088 5276                    Fax     : 03-2088 5288
HP : 019-264 5707                    Email : priscilla@syabas.com.my

**Para pengguna di seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai pertanyaan atau laporan berhubung  bekalan air disaran agar menghubungi talian bebas tol (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau hantarkan SMS ke 39222 dengan menaip PUSPEL <jarak> aduan/pertanyaan>, atau emel ke puspel@syabas.com.my. Para pengguna juga boleh membuat laporan kepada SYABAS menerusi laman web Twitter dan Facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

No comments:

Post a Comment