Friday 14 March 2014

Bomoh mengaibkan nama Malaysia



Kuala Lumpur: Kemunculan beberapa individu mendakwa mereka bomoh dengan melakukan pelbagai aksi selain ritual pelik kononnya untuk membantu menjejaki kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu, mengundang pelbagai persepsi negatif termasuk negara luar yang mengecam tindakan syirik dan tahyul berkenaan.
Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘Bomoh Kartun’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa hari lalu seperti mengaitkan amalan itu sebagai budaya negara ini.

Media Arab, Al-Arabia turut melaporkan sihir adalah usaha terakhir rakyat Malaysia dalam menyelesaikan misteri kehilangan MH370.

Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyelar dan menegur perbuatan pembomohan yang dilakukan kumpulan individu berkenaan memalukan Malaysia.

Kata Mohd Asri, perbuatan bodoh, tahyul dan memalukan yang dilakukan kumpulan bomoh berkenaan memberikan imej buruk kepada masyarakat negara ini. “Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘bomoh kartun’ di KLIA seakan mengaitkan itu dengan budaya kita. “Al-Arabiya ini turut melaporkan bahawa sihir adalah satu jalan yang diambil oleh rakyat Malaysia dalam kes MH370. “Justeru itu Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, bodoh lagi menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal,” katanya dalam akaun Facebooknya, DrMAZA.com petang semalam.

Petikan status itu turut dimuat naik bersama lampiran laporan media Arab berkenaan yang mendapat perhatian pengguna Facebook.
Harian Metro mendapati tidak sampai dua jam status itu dimuat naik ia mendapat reaksi orang ramai dengan lebih 12,000 likes, 1,400 pelbagai komen selain 3,600 berkongsi di laman Facebook masing-masing.

sumber Harian Metro - 14 Mac 2014

Kerajaan tawar rumah mampu milik



Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai rumah mampu milik, masih terdapat segelintir individu kurang mengetahui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah dua agensi kerajaan yang memberi fokus kepada penyediaan kemudahan itu di negara ini.
Kedua-dua syarikat itu memiliki objektif hampir sama, namun menawarkan rumah mampu milik pada harga berbeza mengikut definisi masing-masing bagi memastikan masyarakat mempunyai peluang memiliki rumah, sekali gus memenuhi keperluan negara dalam menjadi negara maju.
Pengarah Urusan SPNB Profesor Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, orang ramai pada masa kini prihatin dengan keperluan memiliki rumah kediaman pada harga mampu milik memandangkan kos sara hidup dan harga rumah yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya ingin menegaskan SPNB dan PR1MA sentiasa membantu rakyat dalam memiliki rumah pada harga berpatutan sekali gus membantu usaha kerajaan mensejahterakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, SPNB menyeru orang ramai supaya mengambil peluang memiliki rumah mampu milik di bawah RM250,000 melalui pelancaran projek pembangunan Rumah Idaman Rakyat (RIR) yang dilancarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, projek terbabit peluang terbaik bagi rakyat untuk memiliki kediaman masing-masing memandangkan ia menawarkan pelbagai jenis rumah daripada teres, semi-D, banglo dan lain-lain pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Sebagai permulaan, kami merancang membina 3,000 unit RIR membabitkan beberapa lokasi di seluruh negara dengan golongan sasaran seperti anak muda, keluarga muda, kakitangan kerajaan dan individu memiliki pendapatan antara RM3,000 dan RM7,000,” katanya.

RIR satu inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014, Oktober lalu bertujuan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Kamarul berkata, SPNB berharap lebih ramai individu melakukan pendaftaran dengan pihaknya apabila projek RIR dilancarkan dan semua maklumat mengenai cara permohonan serta lokasi rumah diumumkan.

“Setakat ini, kami mengenal pasti beberapa lokasi dan kami membuka pendaftaran, pembinaan dan proses undian untuk menentukan pemilik sebelum memulakan proses jual beli dan bayaran deposit kemudian menyerahkan unit rumah kepada pemohon yang layak,” katanya.

Selain RIR, SPNB masih meneruskan program Rumah Mesra Rakyat yang disasarkan kepada golongan memiliki tanah sendiri dan pendapatan berjumlah RM3,000 ke bawah yang terbahagi kepada rumah bersaiz 700 kaki persegi dengan harga (RM45,000), 850 kaki persegi (RM55,000) dan 1,000 kaki persegi (RM65,000).

“Kami turut menawarkan subsidi bagi harga keseluruhan rumah terbabit dengan membabitkan nilai RM20,000 (700 kaki persegi), RM17,500 (850 kaki persegi) dan RM15,000 (1,000 kaki persegi) bertujuan mengurangkan beban ditanggung pemohon,” katanya.

sumber Harian Metro - 15 Mac 2014

Tiada rancangan pelepasan nyamuk GM untuk atasi wabak denggi



Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada rancangan menjalankan pelepasan nyamuk Genetically Modified Mosquitoes (GM) dalam usaha menangani wabak denggi.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (BN-Balik Pulau) berkata, KKM menjalankan penilaian teliti dan mendapati kaedah pencegahan dan pengawalan ini membabitkan kos sangat tinggi dan tidak kos efektif untuk dijalankan.

“Kajian nyamuk ini adalah kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan, KKM dan syarikat Oxitec dibawah Universiti Oxford, United Kingdom menggunakan GM Aedes Aegypti strain yang dijalankan di makmal dan satu pelepasan terhad serta terkawal dilakukan di kawasan tidak berpenghuni di Bentong, Pahang,” katanya.

Dr Hilmi yang menjawab pertanyaan lisan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat di sini, semalam menyatakan kajian ini membabitkan 6,000 nyamuk jantan GM dan jantan biasa dilepaskan.

“Kajian ini bertujuan mengenal pasti jarak penerbangan dan jangka hayat nyamuk berkenaan manakala ia bukan tujuan pencegahan wabak denggi,” katanya.


“Tiada perbezaan signifikan antara nyamuk GM dengan nyamuk biasa dari aspek jangka hayat dan jarak penerbangan,” katanya.

sumber Harian Metro - 14 Mac 2014

Status Terkini Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat 1 dan 3 di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya



SIARAN SEGERA
14 MAC 2014

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjalan lancar dan seperti yang dirancang.

Pihak SYABAS ingin menekankan sekali lagi bahawa TIADA penghantaran bekalan air melalui lori-lori tangki atau tangki air statik di semua kawasan catuan kerana pelan catuan yang dijalankan ini merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan ini boleh dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri, pusat dialisis, hospital (kerajaan / swasta) atau di rumah-rumah kebajikan.

Untuk makluman, pelan catuan bekalan air ini juga merupakan satu dorongan kepada para pengguna untuk mengurangkan dan menjimatkan penggunaan air harian. Pada 14 Mac 2014, penggunaan bekalan air adalah  4,378 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa dalam lingkungan 4,700 JLH,iaitu kekurangan sebanyak 322 JLH.

Sehubungan itu, diharapkan agar para pengguna dapat bekerjasama sepenuhnya untuk mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat dalam membolehkan bekalan air dapat bertahan lebih lama lagi. Justeru, di dalam menghadapi situasi catuan air ini, para pengguna ditegaskan juga agar mengelakkandari menyiram tanaman atau melakukan pengairan rumput secara berlebihan, membasuh kereta, menggunakan air untuk keperluan rekreasi seperti mengisi kolam renang atau menggunakan peluncur air, menggunakan pancuran hos air bagi menyiram kawasan kaki lima, halaman dan lain-lain kerja-kerja pencucian.

Dalam masa yang sama, para pengguna juga dilarang melakukan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrustuktur bekalan air yang diuruskan oleh SYABAS termasuklah pada jajaran-jajaran paip kerana perbuatan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada pengguna selain SYABAS turut menanggung kerugian akibat vandalisme yang dilakukan. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi.

Untuk mengetahui kawasan terlibat dan jadual catuan bekalan air , para pengguna disarankan untuk melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan yang dilaksanakan ini.


- tamat - 



PRISCILLA ALFRED
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam
Tel : 03-2088 5276                    Fax     : 03-2088 5288
HP : 019-264 5707                    Email : priscilla@syabas.com.my

**Para pengguna di seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai pertanyaan atau laporan berhubung  bekalan air disaran agar menghubungi talian bebas tol (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau hantarkan SMS ke 39222 dengan menaip PUSPEL <jarak> aduan/pertanyaan>, atau emel ke puspel@syabas.com.my. Para pengguna juga boleh membuat laporan kepada SYABAS menerusi laman web Twitter dan Facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

Pelabuhan Klang makin tak nampak



Kuala Lumpur: Pelabuhan Klang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 325 yang dikategorikan sebagai 'berbahaya' sehingga 11 malam tadi, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut JAS, 13 kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu antara 100-200 ialah Bandaraya Melaka (124), Bukit Rambai (146), Nilai (170), Port Dickson (155), Seremban (161) dan Tanjung Malim (117).
Banting yang pada sekitar 7 petang mencatatkan 189 sudah mencecah 270 iaitu sangat tidak sihat pada sekitar 11 malam.

Kuala Selangor mencatatkan penurunan kepada 171 berbanding 179 pada 7 petang manakala Petaling Jaya (174), Shah Alam (164), Batu Muda di Kuala Lumpur (174), Cheras (144) dan Putrajaya (180).

Terdapat 19 kawasan mencatat petunjuk IPU sederhana baik antaranya Kemaman (56), Sibu (62) dan Tanah Merah (57) manakala 19 kawasan mencatat bacaan IPU baik iaitu Kota Tinggi (46), Langkawi (39) dan Kuala Terengganu (25).

Bacaan IPU yang baik berada antara 0-50, sederhana pada 51-100, tidak sihat
(100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (lebih 300).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan
melayari portal http://apims.doe.gov.my.

sumber myMetro - 14 Mac 2014