Tuesday 29 April 2014

Pelakon veteran derita barah meninggal dunia


Sungai Buloh: Pelakon veteran, Sidek Hussin, 63, meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam kelmarin, selepas seminggu dalam rawatan akibat ketumbuhan pada pipi kanannya yang disahkan sebagai kanser.


Sidek yang terkenal dengan watak jahat, menghembuskan nafas terakhir jam 11.55 malam di sisi keluarga dan saudara-mara, selepas menghidap barah tahap empat, yang turut merebak ke bahagian lain badannya, termasuk otak, paru-paru dan tulang.

Isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, menyifatkan pelakon terbabit meninggal dunia dalam keadaan tenang.
Beliau pernah berpesan pada saya, apabila meninggal dunia, beliau ingin dikebumikan di tempat asalnya di Kuang. Alhamdulillah, semua hajatnya tercapai sebelum meninggal dunia, termasuk menunaikan umrah tahun lalu, katanya sambil memberitahu, suaminya pernah dimasukkan ke hospital sama pada 30 Mac lalu selepas pengsan ketika membeli-belah di Chow Kit.

Sidek meninggalkan isteri serta lima anak iaitu Khairul Nizam, 37; Siti Hajar, 35; Umi Kalsom, 34; dan Siti Mariam, 30, menerusi perkahwinan pertama dan seorang anak lelaki, Mohd Adam, 24, hasil perkongsian hidup dengan Sebiah.

Komited ketika bekerja

Khairul Nizam berkata, bapanya bukan saja tegas dalam mendidik anak-anak, malah komited dalam sebarang kerja yang dilakukan. Bagaimanapun beliau tidak menggalakkan zuriatnya terbabit dalam seni.
Walaupun tegas dengan kami, beliau sangat baik. Mungkin orang beranggapan dirinya garang apabila melihat kepada wajah dan watak lakonannya, tetapi dalam kehidupan harian beliau bukanlah bersikap sebegitu. Tegasnya hanya dalam memastikan anak-anak mendapat didikan terbaik, katanya.

Pemergian pelakon yang pernah membintangi filem Kisah Seorang Biduan, Potret Maria, Langit Petang, Bintang Malam, May 13, Sumpah Semerah Padi, Orang Minyak, Rasuk, Karak dan Toyol itu, disifatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

Ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, di sini, Ahmad Shabery berkata, Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (1978) yang sering mewarnai drama di RTM itu, banyak memberi inspirasi kepada dunia lakonan negara.

Saya kenal arwah sejak menjadi perintis kepada pembangunan anak seni. Insya-Allah, saya akan cadangkan slot khas bagi mengenang jasa arwah di RTM, katanya.

Fiza, Adam cerai talak satu


Shah Alam: Kami sudah berusaha menyelamatkan perkahwinan ini, malah sehingga malam tadi pun masih berbincang mengenainya.


Ketika prosiding tadi, hakim juga bertanya beberapa kali tetapi inilah ketentuan hubungan kami, tegas pelakon, Fiza, sejurus sah bercerai talak satu dengan suaminya, bekas bintang Akademi Fantasia (AF) Musim ke-2, Adam.

Pengesahan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah pada jam 1.05 tengah hari semalam, sekali gus menjawab spekulasi pergolakan rumah tangga bekas penyanyi kumpulan Elite itu dengan suaminya yang hangat diperkatakan sejak dua minggu lalu.

Fiza mulanya kelihatan ingin mengelak daripada ditemuramah apabila menggunakan tangga untuk turun dari tingkat tiga mahkamah, tetapi beliau bagaimanapun akur kerana sudah berjanji sebelum itu untuk bertemu media selepas prosiding selesai.

Pilihan terakhir

Menjelas mengenai perceraiannya, Fiza dalam nada sebak, berkata bercerai bukanlah pilihan utama, sebaliknya pilihan terakhir selepas dia dan Adam berbincang.

Katanya, apa yang berlaku antara dia dan Adam juga bukan berpunca daripada pihak luar, sebaliknya lebih kepada diri mereka sendiri.

Sejak kebelakangan ini, saya sibuk menjaga ayah yang baharu menjalani pembedahan pintasan jantung, manakala Adam pula sibuk dengan pusat rawatan Islam miliknya di Johor. Jadi, kami jarang berjumpa dan duduk bersama untuk berbincang.

Jodoh kami tak panjang dan saya terima, tiada siapa yang mahu bercerai, katanya yang hadir bersama Adam ke mahkamah dengan memakai jubah hitam sambil ditemani rakan baik, Azza Elite dan pelakon, Datuk Rafena Ezanee.

Fiza enggan mengulas lanjut mengenai perceraian yang berlaku sambil memberitahu banyak hati yang perlu dijaga, terutama memikirkan keadaan kesihatan bapanya yang masih dalam rawatan dan anak-anak.

Sementara itu, Adam atau nama sebenarnya, Mohd Aizam Mat Saman, 31, memberitahu punca utama perpisahan adalah kerana tidak mempunyai persefahaman, selepas tujuh bulan bergelar suami isteri.
Saya akui berat hati ketika mahu menjatuhkan talak, tetapi reda kerana menganggap ia ketentuan Ilahi. Kami masih ada masa dan kalau ada izin Allah di masa depan kami mungkin akan bersatu semula, katanya.

Permohonan rayuan BR1M dilanjut hingga 31 Mei


Shah Alam: Permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini bagi memberi lebih peluang kepada mana-mana individu yang layak mengemukakan rayuan masing-masing.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata sehingga 20 April lepas, kerajaan menerima sebanyak 246,911 rayuan BR1M daripada mereka yang tidak terpilih sebagai penerima.
Sebelum ini, kementerian ada menghantar surat kepada pemohon yang gagal mendapatkan BR1M dengan menyatakan sebab mengapa permohonan mereka ditolak.

Jadi bagi rayuan ini, mereka perlu sertakan dokumen sokongan mengikut sebab penolakan bersama borang rayuan BR1M sebagai bukti yang mereka sebenarnya layak terima bantuan itu, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memuat turun borang rayuan di laman web LHDN dan setiap rayuan mesti disertakan dokumen sokongan untuk pertimbangan.

RM2.47 bilion diagihkan

Ahmad berkata bagi tempoh sehingga 20 April lalu, peruntukan sebanyak RM2.47 bilion diagihkan kepada 3,805,643 penerima BR1M berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, manakala perbelanjaan sebanyak RM633.8 juta pula digunakan untuk bayaran kepada 2,112,906 individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.

Katanya bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, kerajaan membelanjakan sebanyak RM157 juta untuk diagihkan kepada 349,226 penerima layak.

Sehingga kini, kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion kepada 6.5 juta penerima BR1M seluruh negara, jadi mana-mana individu yang merasakan mereka layak mendapatkan bantuan itu, segera kemukakan rayuan sebelum 31 Mei ini, katanya.

Beliau berkata pembayaran BR1M bagi permohonan rayuan hanya akan dilakukan selepas tarikh tutup rayuan berkenaan.

BERNAMA


Bunyi enjin kuat sebelum terjunam


Sebuah pesawat ringan terhempas ketika menjalani latihan di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Kota Bharu: Pesawat Piper Warrior II dilihat berlegar-legar dengan bunyi enjin yang sangat kuat sebelum terjunam di tengah padang berdekatan padang golf di Taman Kurnia Jaya, di sini, semalam.

Saksi yang awal tiba di lokasi insiden itu, Mohd Zairi Ismail, 43, berkata dia berada di rumah kira-kira lima meter dari lokasi pesawat itu terhempas kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika melihat kapal terbang terbabit terbang rendah dan cuba membuat pusingan.

Saya melihat pesawat berlegar-legar dengan bunyi enjin yang sangat kuat sebelum terjunam di tengah padang.

Selepas terhempas, pesawat itu tidak mengeluarkan asap menyebabkan saya terus berkejar ke tempat kejadian.

Saya mendengar suara juruterbang mengerang menahan kesakitan serta melihat tubuhnya menggelepar, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Zairi, berkata dia bersama beberapa penduduk sekitar cuba membantu mangsa yang tersepit namun tidak berjaya sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat.

Juruterbang pelatih, M Shangkar, 20, yang juga penuntut tahun dua Akademi Latihan Penerbangan Asia Pasific (APFT) patah kaki dan tangan termasuk kecederaan di kepala dalam kejadian berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Pandan Indah, Ampang, Selangor, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Saksi lain, Zamani Zakaria, 33, berkata dia yang juga berada di rumah ketika itu terdengar bunyi kuat, namun tidak menyangka ia sebuah pesawat yang menghadapi masalah.
Kami cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun apabila melihat kakinya yang tersepit, kami hanya mampu memintanya bersabar sementara menunggu bantuan tiba, katanya.

Monday 14 April 2014

Asrama Maktab Mahmud terbakar

Asrama Maktab Mahmud terbakar


ALOR SETAR - Sebuah daripada lima bilik asrama lelaki Maktab Mahmud di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi, dipercayai akibat litar pintas.


Kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu memusnahkan keseluruhan bilik asrama di bangunan dua tingkat yang berusia lebih 40 tahun itu yang menempatkan lebih 20 pelajar.

Seorang pekerja koperasi maktab, Muhammad Faiz Azhar Mohd Fauzi, 22, berkata beliau yang ketika itu berada di dalam koperasi yang terletak di bawah bangunan itu terhidu bau hangit dan melihat asap dan api dari sebuah bilik asrama.

Beliau kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru-guru yang sedang berada di kantin berhampiran bangunan tersebut.

"Saya nampak api marak dan cermin kaca bertaburan. Saya juga sempat selamatkan duit dan beberapa barangan dalam koperasi. Syukur kerana sebahagian bangunan sahaja yang terbakar," katanya kepada pemberita ditemui di tempat kejadian.

Muhammad Faiz berkata ketika kejadian, penghuni asrama sedang berada di kelas yang terletak tidak jauh dari asrama mereka.

Selain asrama, bangunan itu turut menempatkan kantin asrama lelaki, koperasi dan bilik menyimpan kertas peperiksaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Johari Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.39 pagi dan menghantar tiga jentera beserta 15 anggota dapat memadam kebakaran dua jam kemudian. - Bernama

Kementerian Sahkan Penutupan Universiti Antarabangsa Albukhary

Tiada siapa yang mengetahui kemelut yang melanda Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah sehingga menyebabkan penutupan dan perpindahan pelajarnya. – Gambar AiU.
Tiada siapa yang mengetahui kemelut yang melanda Universiti Antarabangsa Albukhary di Alor Setar, Kedah sehingga menyebabkan penutupan dan perpindahan pelajarnya. – Gambar AiU.


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan menyatakan mereka sudah menerima surat penutupan operasi daripada Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) yang beroperasi di Alor Setar, Kedah.


Bagaimanapun, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh ketika ditemui sebentar tadi tidak dapat menjelaskan punca sehingga membawa kepada penutupan operasi universiti milik penuh hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu.

Idris berkata, pihaknya kini sedang memantau supaya kebajikan pelajar dan kakitangan universiti berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, pihaknya sedang melakukan tinjauan dan perbincangan dengan pihak universiti itu terutama membabitkan masa depan pelajar dan kebajikan kakitangan termasuk pensyarahnya.

“Apa lebih mustahak nasib setiap pelajar dan pensyarah mendapat pembelaan.

“Semua pelajar akan ditempatkan ke universiti lain berdasarkan kursus diambil,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan dana pendidikan Persatuan Alumni UiTM di sini sebentar tadi.

Difahamkan seramai 600 pelajar kebanyakannya pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di universiti berkenaan.

Tuesday 1 April 2014

Kadar Harga Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang 2014

tol-jambatan-pulau-pinang


Kadar harga tol jambatan kedua Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam akan dilaksanakan bermula 1 April 2014. Kadar tol yang dikenakan bermula dari RM1.70 hingga RM70.10. Berikut adalah senarai harga tol Jambatan Kedua Pulau Pinang mengikut kelas kenderaan.
Kadar Harga Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang Mulai 1 April 2014
  • Kereta kecuali teksi dan bas (kelas 1): RM8.50
  • Motosikal (kelas 0): RM1.70
  • Kenderaan enam tayar kecuali bas (kelas 2):  RM30.50
  • Kenderaan kelas 3: RM70.10
  • Teksi (kelas 4): RM8.50
  • Bas (kelas 5): RM26.20


LCCT ditutup pada 9 Mei



KUALA LUMPUR - Terminal Penerbangan Tambang rendah (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei, 2014, bagi memudahkan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
    
Beliau berkata klia2 dijadualkan dibuka pada 2 Mei dengan empat syarikat penerbangan memulakan operasi di lapangan terbang baharu itu.
    
"Syarikat penerbangan itu termasuk Cebu Pacific yang berpangkalan di Filipina, Tigerair Mandala yang berpangkalan di Indonesia, Tiger Air yang berpangkalan di Singapura dan syarikat penerbangan hibrid tempatan, Malindo Air," katanya kepada pemberita di Persidangan dan Pameran Dunia Bandar Lapangan Terbang 2014 di sini, hari ini.
    
Beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah Cebu Pacific akan memulakan penerbangan pertama di lapangan terbang itu pada pukul 12.30 malam.
    
Aziz juga berkata pertumbuhan penumpang yang disasarkan ke Malaysia tahun ini ialah sebanyak 9.7 peratus dan beliau yakin sasaran itu dapat dicapai meskipun insiden penerbangan MH370 Malaysia Airlines.      
    
Acara dua hari itu merupakan platform global yang menyediakan perbincangan dan perbahasan peringkat tinggi mengenai pewujudan dan pembangunan bandar lapangan terbang serta kepimpinan, amalan terbaik dan inovasi. - Bernama

Fizo Omar: Belajar buat burger tepi jalan

Fizo Omar: Belajar buat burger tepi jalan
Fizo menyasarkan jumlah gerai Hot Burger mencecah 
350 buah di semenanjung Malaysia menjelang 2017


SEBUT sahaja Hot Burger, daripada anak kecil sehingga orang dewasa pasti kenal jenama burger ini. Sudah tentu mereka juga mengenali pemiliknya, pelakon filem Cinderella, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar yang turut bekerjasama dengan dua rakan kongsinya Rizal Musa dan Asri Hamid.


Mereka ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan. Siapa sangka Fizo sebenarnya hanya belajar membuat burger daripada penjual burger tepi jalan yang dianggap sebagai ‘pakar terbaik’.

“Saya suka memerhati. Dari situ saya banyak belajar. Jika abang jual burger tepi jalan ini pun boleh berjaya, saya juga boleh,” katanya.

Idea perniagaannya mudah. Konsepnya hanya dengan mengkomersialkan perniagaan burger tepi jalan. Bermula di situ, lahirlah jenama Hot Burger dengan tagline ‘Harga Kaki Lima, Rasa Bintang Lima’.

“Kami beroperasi bermodalkan pelaburan  RM200,000 dan membuka lima buah gerai di sekitar Kuala Lumpur. Modal itu juga diguna untuk menubuhkan syarikat yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur.

“Melihat kerancakan perniagaan di Kuala Lumpur, kami memasuki pasaran Kelantan pada hujung 2013 sebelum memperkenalkan jenama ini di Selangor. Kini Hot Burger memiliki hampir 100 buah gerai di tiga negeri ini,” katanya yang memulakan perniagaan penghujung 2012.

Selepas Kuala Lumpur, Kelantan dan Selangor, Hot Burger kini boleh didapati di Melaka dan dijangka berada di pasaran Johor pada April atau Mei, sebelum rasa lima bintang Hot Burger dapat dinikmati rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

“Sasaran kami untuk mewujudkan 350 gerai Hot Burger di Semenanjung Malaysia menjelang 2017. Setakat ini, di Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing terdapat 30 gerai dan Selangor 40 gerai. Kami juga rancang memperkenalkan Hot Burger ke Sabah dan Sarawak selepas 2017," katanya.

Peniaga lalui proses tapisan Bukan semua orang boleh menjadi peserta (peniaga) Hot Burger. Tapisan tetap perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar komited dan berminat diberi
keutamaan.

“Tiada syarat ketat dikenakan, tetapi bukan bererti mereka mudah diterima kerana bimbang akan ada yang mengambil kesempatan. Kami akan selidik dahulu latar belakang peserta.

“Bila sudah dipilih, mereka ini wajib mengikuti kursus asas peniagaan maksimum 10 hari. Sepanjang kursus peserta akan diajar bagaimana untuk memasak dan memastikan kualiti dan rasa burger mengikut standard ditetapkan.

“Mereka juga diajar menguruskan perniagaan, termasuk pengurusan akaun,” katanya. Walaupun berniaga di kaki lima, Hot Burger amat mementingkan profesionalisme. Setiap peserta perlu mematuhi standard ditetapkan syarikat.

Gerai perlu bersih, pakaian pekerja perlu seragam dan tahu melayan pelanggan. “Paling penting gerai Hot Burger bukanlah tempat melepak dan kami akan tutup operasi selama 30 minit pada waktu Maghrib,” katanya.

Bagi menjamin kualiti burger dijual dengan rasa sama di semua gerai Hot Burger, pemantauan berkala sentiasa dilakukan. “Pengurus dan penyelia yang dilantik akan memantau keadaan gerai dan peniaga setiap malam.

Jika ada masalah saya sendiri akan turun dan kaji mengapa ia berlaku. “Jika sasaran jualan tidak capai standard, kamiakan lihat beberapa aspek yang mungkin menjadi puncanya. Antaranya kualiti masakan
burger, lokasi atau promosi.

“Sekiranya lokasi menjadi masalah, gerai akan dipindahkan ke kawasan lebih berpotensi. Jika rasa burger puncanya, peniaga akan diajar agar kualitinya sama seperti ditetapkan.

Fizo tegas singkir peniaga menipu

“Peluang sudah diberikan, tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Menipu, membeli bekalan barangan dari luar dan melarikan gerai antara cabaran yang pernah
saya lalui.

“Jika salah, kita denda. Jika kesilapan itu berat, operasi perniagaan mereka dihentikan.Status mereka sebagai wakil peniaga Hot Burger digugurkan serta-merta. Sebarang rayuan tidak akan dilayan.

“Salah tetap salah. Saya amat tegas jika melibatkan perkara-perkara seperti ini. Mereka yang ada rekod seperti ini, tidak akan diterima kembali,” katanya.

Menurut Fizo, Hot Burger terus melebarkan sayap dengan pembukaan perniagaan francais Hot Burger Cafe yang pertama di Pasir Puteh, Kelantan. Berkonsepkan ‘take away’, kafeteria ini bakal berada di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Rasa dan kualiti burger tetap sama, cuma bungkusannya lebih eksklusif. Menariknya di kafeteria kami pelanggan boleh menikmat pelbagai menu istimewa antaranya Super Burger Special dan Burger Stim.

“Insya-ALLAH, saya mahu melihat Hot Burger Cafe berada di semua kompleks membeli belah terkemuka. Pada saya tiada apa yang mustahil,” katanya sambil menambah kos memulakan perniagaan kafeteria itu menelan perbelanjaan sehingga RM200,000.

Selain perniagaan baharu itu, Fizo juga bakal memperkenalkan Hot Burger Mobil dijangka April ini. “Saya akan menggerakkan tiga buah lori, dua diKuala Lumpur dan satu di Kelantan.

“Hot Burger Mobil akan bergerak ke mana sahaja lokasi orang ramai. Berbekalkan modal serendah RM10,000, sesiapa yang berminat boleh terus melayari laman sesawang atau menerusi laman Facebook kami.

Bantu ibu tunggal

Sama seperti usahawan yang lain, keuntungan mestilah sebahagian daripada agenda perniagaan itu sendiri. Tiada siapa berniaga untuk rugi. Tetapi bagi Fizo, keuntungan bukanlah segala-galanya. Niatnya hanya satu iaitu untuk membantu golongan belia memulakan perniagaan.

“Keuntungan bukan segalanya, malah saya tidak ambil sedikit pun daripada mereka. Melihat mereka berjaya, raih pendapatan tinggi, itulah keuntungan besar untuk saya.

“Cuma bekalan bahan mentah termasuk sos tomato, sos lada hitam, mayonis dan roti perlu original daripada Hot Burger dan dilarang sama sekali mengambil stok dari luar,” katanya.

Katanya, jika sebuah gerai menjual minimum 100 biji burger sehari, peniaga mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga melebihi RM10,000 sebulan. Selain itu, Fizo turut bekerjasama dengan
Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat demi membantu golongan ibu tunggal.

Seramai 10 orang ibu tunggal dari Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur dipilih untuk memulakan perniagaan Hot Burger secara percuma. “Saya juga dalam perancangan untuk memberi peluang perniagaan kepada anak-anak yatim yang tamat pelajaran tetapi tidak mendapat tempat di mana-mana universiti.

Mereka juga tidak dikenakan sebarang bayaran permulaan berniaga. Menurut Fizo, beliau mengambil masa empat tahun membuat kajian dan pemerhatian terhadap perniagaan penjualan burger sebelum memulakannya.

“Sejak kecil saya sudah mula berniaga, jual santan, kasut terpakai dan macam-macam lagi. Pahit manis jatuh bangun dalam perniagaan semua saya lalui. Proses itulah yang membawa saya ke tahap
ini akhirnya.

“Apa juga perniagaan yang mahu dibuat, yang penting adalah niat, kejujuran dan keikhlasan. Insya-ALLAH kita akan berjaya,” katanya.




Jalan kaki 30 km demi anak

Jalan kaki 30 km demi anak


SEORANG bapa tunggal di China setia mengendong anak lelakinya yang kurang upaya dan berjalan sejauh 30 kilometer setiap hari hanya untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Walaupun kedua kaki dan tangan serta belakang badannya sakit dan membongkok, Xiao Xukang, 40 an rela demi untuk melihat anaknya, Xiao Qiang, 12, mendapat pendidikan sempurna.

Sejak September lalu, Xukang membawa Xiao dengan meletakkan kanak-kanak itu ke dalam bakul yang diikat di belakang badannya dan berjalan ke sekolah di bandar Fengyi, wilayah Sichuan kira-kira 7 km dari rumahnya.

Disebabkan tiada bas sekolah atau pengangkutan awam, Xukang mengambil inisiatif sendiri iaitu menghantar anaknya ke sekolah dengan berjalan kaki.

Setiap hari, Xukang memulakan rutin harian seawal jam lima pagi untuk menyediakan sarapan dan makan tengah hari anaknya sebelum ke sekolah.

Kemudian dia akan pulang semula ke rumah untuk bekerja dan ke sekolah semula untuk mengambil Xiao pulang.

"Saya tahu dia tidak sempurna, namun dia punya hak untuk belajar seperti kanak-kanak lain. Saya ada mencari sekolah yang lebih dekat, tetapi tidak pernah diterima.

Malah, satu-satunya sekolah yang dapat menerima dia adalah Sekolah Rendah Fengyi yang memerlukan saya berjalan kaki lebih 7 km setiap hari," katanya.

Walaupun menyedari anaknya kurang upaya, Xukang bagaimanapun menyimpan impian untuk melihat anaknya masuk kolej dan mencapai cita-citanya. - Mail Online

Azizul dipenjara 10 bulan, Shalwati 14 bulan


Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem


KUALA LUMPUR - Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.


Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwarm Rahmat, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).

Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.

Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Disember lepas.

Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.

Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.

Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di SpÄnga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lepas.

Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Jan lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.

Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.

Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.

Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.

Pasangan itu juga diarah membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.

Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.

"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.

Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.

Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. - Bernama