Tuesday 29 April 2014

Pelakon veteran derita barah meninggal dunia


Sungai Buloh: Pelakon veteran, Sidek Hussin, 63, meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam kelmarin, selepas seminggu dalam rawatan akibat ketumbuhan pada pipi kanannya yang disahkan sebagai kanser.


Sidek yang terkenal dengan watak jahat, menghembuskan nafas terakhir jam 11.55 malam di sisi keluarga dan saudara-mara, selepas menghidap barah tahap empat, yang turut merebak ke bahagian lain badannya, termasuk otak, paru-paru dan tulang.

Isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, menyifatkan pelakon terbabit meninggal dunia dalam keadaan tenang.
Beliau pernah berpesan pada saya, apabila meninggal dunia, beliau ingin dikebumikan di tempat asalnya di Kuang. Alhamdulillah, semua hajatnya tercapai sebelum meninggal dunia, termasuk menunaikan umrah tahun lalu, katanya sambil memberitahu, suaminya pernah dimasukkan ke hospital sama pada 30 Mac lalu selepas pengsan ketika membeli-belah di Chow Kit.

Sidek meninggalkan isteri serta lima anak iaitu Khairul Nizam, 37; Siti Hajar, 35; Umi Kalsom, 34; dan Siti Mariam, 30, menerusi perkahwinan pertama dan seorang anak lelaki, Mohd Adam, 24, hasil perkongsian hidup dengan Sebiah.

Komited ketika bekerja

Khairul Nizam berkata, bapanya bukan saja tegas dalam mendidik anak-anak, malah komited dalam sebarang kerja yang dilakukan. Bagaimanapun beliau tidak menggalakkan zuriatnya terbabit dalam seni.
Walaupun tegas dengan kami, beliau sangat baik. Mungkin orang beranggapan dirinya garang apabila melihat kepada wajah dan watak lakonannya, tetapi dalam kehidupan harian beliau bukanlah bersikap sebegitu. Tegasnya hanya dalam memastikan anak-anak mendapat didikan terbaik, katanya.

Pemergian pelakon yang pernah membintangi filem Kisah Seorang Biduan, Potret Maria, Langit Petang, Bintang Malam, May 13, Sumpah Semerah Padi, Orang Minyak, Rasuk, Karak dan Toyol itu, disifatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sebagai kehilangan besar kepada industri seni.

Ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, di sini, Ahmad Shabery berkata, Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (1978) yang sering mewarnai drama di RTM itu, banyak memberi inspirasi kepada dunia lakonan negara.

Saya kenal arwah sejak menjadi perintis kepada pembangunan anak seni. Insya-Allah, saya akan cadangkan slot khas bagi mengenang jasa arwah di RTM, katanya.

Fiza, Adam cerai talak satu


Shah Alam: Kami sudah berusaha menyelamatkan perkahwinan ini, malah sehingga malam tadi pun masih berbincang mengenainya.


Ketika prosiding tadi, hakim juga bertanya beberapa kali tetapi inilah ketentuan hubungan kami, tegas pelakon, Fiza, sejurus sah bercerai talak satu dengan suaminya, bekas bintang Akademi Fantasia (AF) Musim ke-2, Adam.

Pengesahan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah pada jam 1.05 tengah hari semalam, sekali gus menjawab spekulasi pergolakan rumah tangga bekas penyanyi kumpulan Elite itu dengan suaminya yang hangat diperkatakan sejak dua minggu lalu.

Fiza mulanya kelihatan ingin mengelak daripada ditemuramah apabila menggunakan tangga untuk turun dari tingkat tiga mahkamah, tetapi beliau bagaimanapun akur kerana sudah berjanji sebelum itu untuk bertemu media selepas prosiding selesai.

Pilihan terakhir

Menjelas mengenai perceraiannya, Fiza dalam nada sebak, berkata bercerai bukanlah pilihan utama, sebaliknya pilihan terakhir selepas dia dan Adam berbincang.

Katanya, apa yang berlaku antara dia dan Adam juga bukan berpunca daripada pihak luar, sebaliknya lebih kepada diri mereka sendiri.

Sejak kebelakangan ini, saya sibuk menjaga ayah yang baharu menjalani pembedahan pintasan jantung, manakala Adam pula sibuk dengan pusat rawatan Islam miliknya di Johor. Jadi, kami jarang berjumpa dan duduk bersama untuk berbincang.

Jodoh kami tak panjang dan saya terima, tiada siapa yang mahu bercerai, katanya yang hadir bersama Adam ke mahkamah dengan memakai jubah hitam sambil ditemani rakan baik, Azza Elite dan pelakon, Datuk Rafena Ezanee.

Fiza enggan mengulas lanjut mengenai perceraian yang berlaku sambil memberitahu banyak hati yang perlu dijaga, terutama memikirkan keadaan kesihatan bapanya yang masih dalam rawatan dan anak-anak.

Sementara itu, Adam atau nama sebenarnya, Mohd Aizam Mat Saman, 31, memberitahu punca utama perpisahan adalah kerana tidak mempunyai persefahaman, selepas tujuh bulan bergelar suami isteri.
Saya akui berat hati ketika mahu menjatuhkan talak, tetapi reda kerana menganggap ia ketentuan Ilahi. Kami masih ada masa dan kalau ada izin Allah di masa depan kami mungkin akan bersatu semula, katanya.

Permohonan rayuan BR1M dilanjut hingga 31 Mei


Shah Alam: Permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini bagi memberi lebih peluang kepada mana-mana individu yang layak mengemukakan rayuan masing-masing.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata sehingga 20 April lepas, kerajaan menerima sebanyak 246,911 rayuan BR1M daripada mereka yang tidak terpilih sebagai penerima.
Sebelum ini, kementerian ada menghantar surat kepada pemohon yang gagal mendapatkan BR1M dengan menyatakan sebab mengapa permohonan mereka ditolak.

Jadi bagi rayuan ini, mereka perlu sertakan dokumen sokongan mengikut sebab penolakan bersama borang rayuan BR1M sebagai bukti yang mereka sebenarnya layak terima bantuan itu, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memuat turun borang rayuan di laman web LHDN dan setiap rayuan mesti disertakan dokumen sokongan untuk pertimbangan.

RM2.47 bilion diagihkan

Ahmad berkata bagi tempoh sehingga 20 April lalu, peruntukan sebanyak RM2.47 bilion diagihkan kepada 3,805,643 penerima BR1M berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, manakala perbelanjaan sebanyak RM633.8 juta pula digunakan untuk bayaran kepada 2,112,906 individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.

Katanya bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, kerajaan membelanjakan sebanyak RM157 juta untuk diagihkan kepada 349,226 penerima layak.

Sehingga kini, kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion kepada 6.5 juta penerima BR1M seluruh negara, jadi mana-mana individu yang merasakan mereka layak mendapatkan bantuan itu, segera kemukakan rayuan sebelum 31 Mei ini, katanya.

Beliau berkata pembayaran BR1M bagi permohonan rayuan hanya akan dilakukan selepas tarikh tutup rayuan berkenaan.

BERNAMA


Bunyi enjin kuat sebelum terjunam


Sebuah pesawat ringan terhempas ketika menjalani latihan di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Kota Bharu: Pesawat Piper Warrior II dilihat berlegar-legar dengan bunyi enjin yang sangat kuat sebelum terjunam di tengah padang berdekatan padang golf di Taman Kurnia Jaya, di sini, semalam.

Saksi yang awal tiba di lokasi insiden itu, Mohd Zairi Ismail, 43, berkata dia berada di rumah kira-kira lima meter dari lokasi pesawat itu terhempas kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika melihat kapal terbang terbabit terbang rendah dan cuba membuat pusingan.

Saya melihat pesawat berlegar-legar dengan bunyi enjin yang sangat kuat sebelum terjunam di tengah padang.

Selepas terhempas, pesawat itu tidak mengeluarkan asap menyebabkan saya terus berkejar ke tempat kejadian.

Saya mendengar suara juruterbang mengerang menahan kesakitan serta melihat tubuhnya menggelepar, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Zairi, berkata dia bersama beberapa penduduk sekitar cuba membantu mangsa yang tersepit namun tidak berjaya sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat.

Juruterbang pelatih, M Shangkar, 20, yang juga penuntut tahun dua Akademi Latihan Penerbangan Asia Pasific (APFT) patah kaki dan tangan termasuk kecederaan di kepala dalam kejadian berkenaan.
Mangsa yang berasal dari Pandan Indah, Ampang, Selangor, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Saksi lain, Zamani Zakaria, 33, berkata dia yang juga berada di rumah ketika itu terdengar bunyi kuat, namun tidak menyangka ia sebuah pesawat yang menghadapi masalah.
Kami cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun apabila melihat kakinya yang tersepit, kami hanya mampu memintanya bersabar sementara menunggu bantuan tiba, katanya.

Monday 14 April 2014

Asrama Maktab Mahmud terbakar

Asrama Maktab Mahmud terbakar


ALOR SETAR - Sebuah daripada lima bilik asrama lelaki Maktab Mahmud di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi, dipercayai akibat litar pintas.


Kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu memusnahkan keseluruhan bilik asrama di bangunan dua tingkat yang berusia lebih 40 tahun itu yang menempatkan lebih 20 pelajar.

Seorang pekerja koperasi maktab, Muhammad Faiz Azhar Mohd Fauzi, 22, berkata beliau yang ketika itu berada di dalam koperasi yang terletak di bawah bangunan itu terhidu bau hangit dan melihat asap dan api dari sebuah bilik asrama.

Beliau kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru-guru yang sedang berada di kantin berhampiran bangunan tersebut.

"Saya nampak api marak dan cermin kaca bertaburan. Saya juga sempat selamatkan duit dan beberapa barangan dalam koperasi. Syukur kerana sebahagian bangunan sahaja yang terbakar," katanya kepada pemberita ditemui di tempat kejadian.

Muhammad Faiz berkata ketika kejadian, penghuni asrama sedang berada di kelas yang terletak tidak jauh dari asrama mereka.

Selain asrama, bangunan itu turut menempatkan kantin asrama lelaki, koperasi dan bilik menyimpan kertas peperiksaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Johari Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.39 pagi dan menghantar tiga jentera beserta 15 anggota dapat memadam kebakaran dua jam kemudian. - Bernama